PETALING JAYA – Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon ampun kepada Sultan Selangor disifatkan sebagai pelik.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Muhammad Sanusi memohon ampun walaupun tidak mengaku membuat penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Akhirnya dia minta ampun walaupun tak mengaku salah. Itu yang peliknya. Biarlah polis sedang menyiasat. Bila kita tegur dia kata tidak ada. Lepas itu dia minta ampun dan sebagainya.
“Benda ini telah berjalan dan ia ingatan kepada kita kena berhati-hati bila berucap sebab kesan dia besar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda anjuran Angkatan Muda Keadilan di sini hari ini.
Media melaporkan, Muhammad Sanusi telah mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.
Muhammad Sanusi berkata, surat berkenaan didahului dengan merafak sembah memohon ampun kepada Sultan Selangor dan berharap tidak timbul kemurkaan baginda bersabit isu-isu yang didakwa sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.
Sementara itu, Amirudin belum menerima sebarang reaksi daripada Istana Selangor berhubung ucapan Muhammad Sanusi.
“Saya tidak boleh mewakili istana, dia ada Ahli Dewan Diraja yang dilantik terus oleh Sultan Selangor sendiri dan baginda akan mempengerusikan (mesyuarat) dewan tersebut.
“Mungkin mereka ada mesyuarat dan Duli Yang Maha Mulia ada pandangan (saya) tak pasti. Ini isu berkaitan beberapa pelanggaran (undang-undang) yang sedang siasat. Biar polis selesaikan siasatan,” kata Amirudin.
Beliau berkata, langkah kerajaan mengingatkan agar jangan terlalu menunggang isu 3R iaitu agama, kaum dan raja kerana boleh memberi akibat buruk jika tersalah mengeluarkan pandangan dan disalah difahami oleh masyarakat.
Katanya, ucapan Muhammad Sanusi boleh dianggap sebagai satu pengajaran yang bagus menjelang kempen pilihan raya di enam negeri.
Ucapan Sanusi dalam ceramahnya baru-baru ini menimbulkan kontrovesi selepas mendakwa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Amirudin sebagai menteri besar. – MalaysiaGazette
Semakin hari semakin kasih dan sayang rakyat jelata kepada MB Kedah. Semoga menang majoriti dalam PRU kecil nanti.