KOTA BHARU – Siasatan polis terhadap tiga pemimpin parti berhubung kenyataan mereka yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) sudah hampir selesai dan dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara, minggu depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiga individu terbabit ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ketiga-tiga mereka telah memberikan kenyataan masing-masing.
“Siasatan polis juga sudah hampir selesai dan kita akan hantar kertas siasatan ke peguam negara secepat mungkin, mungkin minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) Kontinjen Kelantan di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, siasatan berkaitan 3R berkenaan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama