Onn Hafiz Ghazi hadir di Majlis Penyerahan Kunci RMMJ di Pangsapuri Senibong Indah, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mensasarkan pembinaan 30,000 buah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dalam tempoh lima tahun berbanding 21,702 buah sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penetapan sasaran tersebut dibuat selepas mengambil kira sambutan menggalakkan yang diterima daripada rakyat di negeri itu.

“Kerajaan Negeri melihat ia adalah satu sasaran yang boleh dicapai kerana permintaan bagi RMMJ adalah sangat tinggi dan saya tidak mahu ia hanya dibina di Johor Bahru.

“Ia juga perlu dibina di daerah-daerah lain seperti Segamat, Muar, Batu Pahat, Tangkak, Pontian dan Kota Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci RMMJ di Pangsapuri Senibong Indah, di sini, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, sebanyak 222 unit kediaman dibina di Pangsapuri Senibong Indah dan daripada jumlah itu sebanyak 195 pembeli sudah menerima kunci. – MalaysiaGazette