Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM130 juta diperuntukkan di bawah inisiatif
Payung Rahmah untuk membantu golongan kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih 210,000 penerima dalam kumpulan tersebut akan menerima sumbangan berdasarkan data e-Kasih di bawah inisiatif Payung Rahmah.

Katanya, mereka akan menerima sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM600 yang akan dibayar esok bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas.

“Oleh itu, dengan sumbangan yang diberikan ini dapatlah menampung sebahagian daripada perbelanjaan seharian mereka,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan SARA akan dibuat mulai esok bagi penerima daripada Semenanjung Malaysia, manakala penerima daripada Sabah, Sarawak dan Labuan akan diberi pada 7 Ogos nanti.

Jumaat lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di kementeriannya.

Bagaimanapun beliau berkata, perincian berhubung program itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette