KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa beliau tidak pernah mengkhianati Islam dan bangsa Melayu sepanjang tempoh lapan bulan memegang jawatan utama dalam mentadbir negara.
Bahkan, jelasnya, beliau juga tidak pernah menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mencuri duit negara, menzalimi rakyat, mengecilkan dan mengkhianati Islam dan bangsa Melayu.
“Ada orang tak senang bila saya pakai capal, pakai baju samping dalam (mereka kata) tak elok, itu semua tak apa.
“Tapi (saya nak tegaskan) ada satu perkara dia (individu berkenaan) yang tak boleh pertikai (iaitu) salah guna kuasa serta khinati amanah rakyat malah, lapan bulan saya tanya di Parlimen apa yang saya khianat Melayu dan Islam?
“Adakah kerana saya sokong ketua menteri (Pulau Pinang, Chow Kon Yeow) sebagai ketua menteri? Itu saya tidak khianat, saya terima kenyataan geopolitik dan realiti (keadaan politik negara) kerana saya mahu negara ini aman,” katanya ketika berucap pada Perasmian Penutupan Seminar Malaysia Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Bertam Resort di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Institusi Tahfiz di negeri ini.
Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy.
Tambah Anwar, selain Pulau Pinang semua negeri ditadbirkan oleh pemimpin Melayu, Islam termasuk jawatan-jawatan utama negara.
“Semua jawatan-jawatan utama seperti Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Gabenor Bank Negara semua Melayu, Islam.
“Sehubungan itu, saya mohon selamatkan negara ini jangan izinkan ada permusuhan kaum yang kembali meruntuhkan negara kerana nilai dan kedangkalan ilmu kita. Mudah-mudahan Allah SWT selamatkan kita,” katanya.