Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H / 2023M pada 19 Julai ini bersamaan 1 Muharram 1445 Hijriah.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H / 2023M pada 19 Julai ini bersamaan 1 Muharram 1445 Hijriah.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berkenan berangkat ke majlis itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada pukul 9.00 pagi.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan titah diraja dan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan dan antarabangsa pada majlis tersebut.

Sambutan bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya serta 6,000 tetamu terdiri daripada pimpinan kerajaan, duta asing, pegawai kanan kerajaan, ketua agensi serta kontinjen yang mengambil bahagian dan orang awam.

“Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Perpaduan merupakan tunjang kepada masyarakat madani, yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian. Sekiranya Allah berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan-Nya satu umat sahaja namun sebaliknya Allah hendak menguji manusia dengan mencipta segala kepelbagaian.

“Justeru, wujud kepelbagaian keupayaan dan keinginan, profesion dan pekerjaan dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan, bukannya merosakkan dan bermusuhan antara satu dengan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hakimah, seperti tahun-tahun sebelum ini, individu terpilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan antarabangsa akan diumumkan.

Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima masyarakat dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, majlis sambutan Maal Hijrah tahun ini akan dimulakan dengan majlis bacaan doa akhir dan awal tahun di Masjid Negara di sini esok yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Ia akan bermula pada jam 7.00 malam dengan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast