KUALA LUMPUR- Berjaya Corporation Bhd. (Bcorp) merancang untuk melupuskan 100 kepentingan dalam anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Enviro Holdings Sdn. Bhd. (BEnviro) kepada Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. (NAZa) pada pertimbangan tunai RM700 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BCorp, Vivienne Cheng, berkata cadangan pelupusan itu bakal memberi peluang kepada BCorp untuk menjana hasil pelaburan dalam BEnviro dengan anggaran keuntungan kira-kira RM490.74 juta.
Katanya, keuntungan yang dijana akan meningkatkan aset bersih kumpulan dan hasil daripada penjualan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan BCorp.
Menurut Vivienne, BCorp merancang untuk terus meneroka projek baharu dengan BEnviro melalui syarikat usaha sama selepas selesai cadangan pelupusan itu.
Katanya, setelah selesai cadangan pelupusan, Berjaya Group dan BEnviro akan menubuhkan syarikat usahasama untuk bekerjasama dalam semua projek baharu termasuk tetapi tidak terhad kepada tapak pelupusan sanitari, alam sekitar dan pengurusan sisa di Malaysia dan luar negara.
Berjaya Group dan BEnviro masing-masing akan memiliki 49 peratus dan 51 peratus kepentingan dalam syarikat baharu terbabit.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Viviene bagi pihak BCorp, manakala Naza diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Ismee Ismail.
Yang turut hadir Pengasas dan Penasihat BCorp, Tan Sri Vincent Tan; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Naza, SM Faliq SM Nasimuddin.
Sementara itu SM Nasarudin berkata, melalui cadangan pengambilalihan itu, Naza akan memanfaatkan infrastruktur operasinya yang luas, kemajuan teknologi, dan tenaga kerja berbakat BEnviro dan tujuh anak syarikatnya.
Katanya, pihaknya juga menyasarkan untuk mengekalkan pengurusan dan bakat di dalam entiti berkenaan bagi kesinambungan perniagaan.
BEnviro terbabit dalam segmen perniagaan alam sekitar iaitu pengurusan sisa pepejal dengan tapak pelupusan sanitari kejuruteraan, pengurusan gas tapak pelupusan melalui penjanaan tenaga boleh diperbaharui daripada gas tapak pelupusan, serta pengurusan sisa terjadual melalui kitar semula, rawatan dan pelupusan.
Projek pengurusan sisa BEnviro termasuk Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar di Selangor.- MalaysiaGazette