Norhidawati Abdul Aziz (dua dari kanan) menerima anugerah Royal Crown Diamond di Utah, Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR – Syarikat Bumiputera, Oilylicious Healthcare Sdn. Bhd. mempamerkan prestasi luar biasa apabila mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM158 juta sejak ditubuhkan pada 2014 sebagai Rakan Jenama, Young Living Essential Oils di negara ini.

Pengarah Urusannya, Norhidawati Abdul Aziz meraih kejayaan terbesar apabila beliau dan kumpulannya berjaya merekodkan jualan kumpulan tertinggi sebanyak RM35 juta sebulan ketika Malaysia masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga kini, beliau berjaya mengekalkan jualan purata RM6.3 sebulan yang membolehkan beliau muncul sebagai wanita muslim pertama di dunia mendapat anugerah Royal Crown Diamond oleh syarikat peneraju minyak pati dan penyelesaian kesejahteraan antarabangsa itu.

Kejayaan itu menjadikan syarikatnya merupakan penyumbang utama jualan keseluruhan di Young Living negara ini iaitu sebanyak 70 peratus dan  memiliki lebih 35,000 ahli di bawah rangkaiannya.

Ibu kepada lima anak ini menyertai syarikat minyak pati yang berpengkalan di Utah, Amerika Syarikat itu pada 2014 dan sebelum ini, Norhidawati merupakan Pengetua dan Pengasas Genius Baby on Board iaitu sebuah pusat pendidikan awal kanak-kanak yang terletak di Puchong, Selangor.

“Saya bersyukur dengan penganugerahan ini dan tidak menyangka akan menjadi wanita Muslim pertama di dunia yang dinobatkan anugerah tertinggi di sebuah syarikat antabangsa.

“Namun sesuatu kejayaan itu tidak akan datang bergolek kerana setiap impian dan kejayaan itu adalah hasil daripada kerja keras dan konsisten terhadap apa yang kita lakukan setiap hari.

“Walaupun pada awalnya saya menyertai Young Living ini sebagai pengguna untuk membantu anak sulung saya yang mempunyai simptom Autism (ASD) dan  menambah keyakinan anak kedua saya yang lahir dengan kondisi yang dinamakan Symbrachydactyly di tangan kanannya.

“Saya tidak menyangka ia telah merubah kehidupan saya 360 darjah apabila saya konsisten berkongsi tentang kebaikan produk ini hingga mampu mempunyai rangkaian di seluruh dunia seterusnya meraih pendapatan sebanyak enam angka sebulan.” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Norhidawati, 43, memberitahu, Oilylicious Healthcare Sdn Bhd menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai jutawan dalam bidang aromaterapi dan kesihatan holistik menerusi syarikatnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Misi saya adalah untuk melihat Oilylicious Healthcare menjadi sebuah syarikat tempatan yang berdaya saing dan dikenali sebagai sebuah syarikat yang melahirkan ramai usahawan berjaya dalam penjagaan kesihatan komplementari khususnya aromaterapi di dunia,” katanya. – MalaysiaGazette