BUKIT MERTAJAM – Kementerian Kesihatan (KKM) yakin kerja menaik taraf dan membaik pulih 436 klinik daif di seluruh negara akan selesai hujung tahun ini.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, setakat ini sudah ada projek naik taraf klinik daif yang telah siap walaupun projek berkenaan baru sahaja bermula pada Mei lepas.
“(Sebanyak) RM100 juta yang diperuntukkan untuk projek tersebut pada tahun ini, bertujuan mewujudkan suasana kondusif kepada pesakit dan memberi keselesaan kepada kakitangan untuk memberi khidmat terbaik.
“Sebanyak 436 klinik daif telah kenal pasti di seluruh negara dan RM100 juta diperuntukan untuk membaik pulih semua fasiliti itu dalam tempoh tahun ini.
“Sekiranya ada penjimatkan dalam kerja-kerja membaik pulih semula kesemua fasiliti itu, kita akan guna wang lebihan tersebut untuk baiki klinik lain.
“Setakat untuk tahun ini sebanyak 436 klinik dan kita akan tengok (baiki) klinik lain pulak tahun depan,” katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Bandar Perda, di sini, hari ini.
Tambah Zaliha, Inisaitif Pembaikan Klinik dan Fasiliti Daif dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan melalui kemudahan dan infrastruktur yang selamat dan kondusif.
“Ia juga selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang mana KKM sedang meningkatkan usaha untuk mereformasi sistem kesihatan negara untuk kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
Klinik daif merupakan klinik-klinik uzur khususnya berusia 15 tahun, mempunyai masalah berkaitan utiliti elektrik dan mengalami kerosakan akibat banjir atau kebakaran. – MalaysiaGazette