KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 orang mangsa syarikat pengubahsuaian rumah daripada dua buah syarikat mendakwa mereka ditipu.
Salah seorang mangsa, Suthasinie,41, berkata, beliau telah mengupah sebuah syarikat pengubahsuaian, Seven Design and Build Sdn Bhd., menerusi sebuah laman web dengan upah sebanyak RM300,000 bermula Mac tahun lalu.
Jelas beliau, syarikat tersebut bersetuju menyiapkan rumahnya pada Julai tahun lalu namun sehingga kini hanya 30 peratus kerja pengubahsuaian dilakukan meskipun telah membuat pembayaran kira-kira RM290,000.
“Selepas Julai tahun lalu tidak siap dia minta tunda ke November sampai kami lihat tidak banyak pun yang dilakukan. Hanya sedikit sahaja.
“Kadang-kadang sampai dua minggu tiada kerja pengubahsuaian dilakukan. Bila kami tanya dan tanya bila boleh siap mereka minta kami tambah wang lagi,” katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Memburukkan keadaan beliau berkata, lama-kelamaan wakil syarikat berkenaan yang berurusan dengannya semakin sukar dihubungi.
“Kami Whatsapp tidak jawap, kami telefon tidak angkat. Pernah ke pejabat mereka tetapi banyak alasan diberikan,” katanya.
Kesal dengan sikap berlengah syarikat tersebut Suthasinie membuat laporan polis pada Januari lalu.
Sementara itu, Ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, sebuah lagi syarikat yang turut disebut oleh pengadu kepadanya ialah Murasami Design and Build.
“Banyak laporan polis dibuat terhadap syarikat ini, yang menyebut mangsa diminta membayar 30 hingga 70 peratus kos pengubahsuaian sebelum kerja bermula.
“Tetapi akhirnya syarikat tersebut tidak melaksanakan kerja-jerja,” katanya.
Oleh kerana kedua-dua syarikat berkenaan diketahui mangsa menerusi internet, Teresa menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital memberi perhatian terhadap isu tersebut.
Katanya, scam pengubahsuaian perlu dihalang daripada terus berleluasa.
Dalam masa sama, Teresa turut mengemukakan surat kepada Kementerian Kerja Raya untuk membantu menangani isu tersebut.
“Saya hantar surat kepada Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital) sebab mangsa tahu syarikat ini daripada laman sesawang yang dikenali sebagai recommend.my,” katanya. – MalaysiaGazette