Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidik MARA 2023 kepada Shaariah Dahman.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuat semakan semula terhadap skim gaji pendidik Institut Pendidikan MARA (IPMA).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKLW) berkata, skim berkenaan melibatkan 9,880 orang pendidik di 342 IPMA seluruh negara.

“Saya tahu skim kita setara dengan guru Kementerian Pendidikan tapi ada yang terpinggir dan ada yang terpencil.

“Selagi saya berada di KKLW saya komited untuk memperjuangkan nasib saudara saudari.

“Saya beri tanggungjawab ini kepada Pengerusi MARA (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) yang akan membantu menteri untuk memperjuangkan nasib saudara saudari,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Anugerah Pendidik MARA 2023 di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf.

Katanya, Asyraf Wajdi akan menguruskan semakan semula berkenaan selepas 12 Ogos iaitu sebaik pilihan raya kecil di enam negeri tamat.

Ahmad Zahid turut mengumumkan penganjuran Debat Piala Timbalan Perdana Menteri membabitkan pelajar di 55 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.

Pertandingan yang melibatkan tiga kategori iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab akan berlangsung di MRSM Tun Ghafar di Melaka bermula 21 Julai hingga 24 Julai.

Sementara itu Ahmah Zahid meminta guru IPMA berusaha untuk menaik taraf kaedah pengajaran agar selari dengan kehendak dan arus peredaran masa kini serta bagi mendepani cabaran mengajar Generasi Z.

“Ternyata, pemahaman tentang karakteristik setiap generasi amat penting untuk menentukan bagaimana strategi pendidikan yang efektif harus diberikan kepada pelajar Generasi Z ini.

“Tujuannya bukan sekadar dari segi akademik dan pedagogi, tetapi juga bagaimana proses pendidikan dapat melahirkan karakter dan kecintaan pelajar terhadap aktiviti-aktiviti pembelajaran,” kata Ahmad Zahid.

Pada majlis itu, bekas Pengarah Kolej MARA Kuala Nerang Shaariah Dahman, 68 dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik MARA 2023. Shaariah berkhidmat dengan MARA hampir 36 tahun.

Sebanyak 12 IPMA diumum sebagai terbaik iaitu MRSM Kepala Batas, MRSM Langkawi, MRSM Tun Abdul Razak, IKM Besut, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Sri Gading dan Kolej Porfesional MARA Bandar Penawar.

Turut menerima Anugerah IPMA Terbaik adalah Kolej MARA Kulim, GiatMARA Keningau, GiatMARA Sungai Bakap, GiatMARA Tapah, Kolej Poly-Tech MARA Bangi dan UniKL Malaysia Institute of Imformation Technology. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast