KUALA LUMPUR – Peraturan Tetap Operasi (PTO) berkaitan pengurusan dan tindakan menghadapi bencana nuklear dan radiologi bakal dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia antara enam PTO yang sedang dirangka NADMA dan akan dikeluarkan tidak lama lagi.
Empat PTO lain melibatkan komunikasi bencana, pusat kawalan operasi bencana, pusat kawalan tempat kejadian, bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa dan bencana tanah runtuh.
“Drafnya telah ada dan akan dimurnikan dalam beberapa sesi dengan pemegang taruh,” kata Armizan dalam sesi libat urus bersama media berhubung situasi semasa dan tindakan dalam menghadapi musim Monsun Barat Daya.
Sesi tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Ugak Kumbung dan ketua-ketua agensi berkaitan pengurusan bencana negara termasuk Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus.
Menurut Armizan, selain mendapatkan pandangan agensi kerajaan, NADMA juga meminta pendapat daripada ahli akademik, badan bukan kerajaan dan pakar pelbagai bidang.
Sebelum ini NADMA telah mengeluarkan tujuh PTO melibatkan banjir dan siklon tropika, industri, jerebu, petorkimia, gempa bumi, tsunami dan kemarau.
PTO merupakan garis panduan kepada petugas agensi terbabit bagi menguruskan sesuatu bencana dengan lebih tersusun dan selamat.- MalaysiaGazette