Ahmad Zahid ketika mengadakan sidang akhbar hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak ada kaitan dengan pilihan raya di enam negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pendakwaan itu juga bukan disebabkan oleh titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa isu melibatkan Muhammad Sanusi belum selesai.

“Pada hemat saya secara peribadi Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan pendakwaan bukan soal pilihan raya, soal titah tuanku.

“Tetapi terdapat beberapa fakta yang difikirkan Jabatan Peguam Negara mempunyai kes yang kuat untuk membawa beliau ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Hari Anugerah Pendidik MARA 2023 diminta mengulas mengenai pendakwaan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu pagi ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mahkamah merupakan platform terbaik untuk Menteri Besar Kedah itu membuktikan dirinya tidak bersalah.

Beliau turut mengulas kritikan beberapa pihak berhubung waktu penahanan Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi yang dianggap sebagai tidak wajar.

“Itu hak agensi penguatkuasa untuk melakukan pukul berapa pun kerana mereka mempunyai kuasa 24 jam untuk melakukan tindakan penahanan,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, Muhammad Sanusi masih mempunyai peluang untuk bertanding pada pilihan raya nanti.

Ini kerana pendakwaan terhadap beliau tidak melibatkan kesalahan jenayah dan Menteri Besar Kedah itu belum dijatuhkan hukuman.

Muhammad Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di sini jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast