Ahmad Maslan.

PORT DICKSON – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini menawarkan ganjaran 10 peratus daripada nilai rampasan kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat tepat mengenai barangan yang dikategorikan lari cukai berserta pelakunya.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, barangan itu termasuk rokok, minuman keras dan kenderaan (RMK) dengan identiti pemberi maklumat berkenaan akan dirahsiakan.

“Jika nilai rampasan berjumlah RM1 juta, maka 10 peratus daripada itu iaitu sebanyak RM100,000 akan diberikan kepada pemberi maklumat… Memang ada peruntukan untuk pemberi maklumat yang kita akan nilaikan mengikut kategori.

“Kita harap lebih ramai menghubungi JKDM jika lihat perkara disyaki, kita anggap pemberi maklumat ini sebagai kategori A iaitu apabila JKDM sampai di tempat tersebut boleh terus tangkap pelaku dan barangan yang lari cukai itu, ia termasuk juga kes melibatkan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat JKDM Negeri Sembilan 2023 yang turut dihadiri Pengarah JKDM negeri Mohammad Hafiz Ishak di sini hari ini.

Ahmad berkata maklumat berkenaan diperlukan bagi membasmi aktiviti berkenaan yang akan merugikan rakyat dan negara, malah pemberian ganjaran itu sebenarnya sudah lama dilakukan JKDM tapi tidak diuar-uarkan.

“Kerja-kerja jahat ini masih banyak lagi dibuat di luar sana, oleh kerana itu saya menyeru kepada semua untuk tampil salurkan maklumat itu, mereka boleh hubungi JKDM di kawasan masing-masing…tapi jangan pula bagi maklumat palsu,” katanya.

Beliau berkata tugas dan peranan JKDM bukan hanya mengutip cukai atau hasil untuk negara bahkan untuk menjaga ketenteraman negara.

Sementara itu, Mohammad Hafiz dalam ucapannya berkata JKDM Negeri Sembilan telah pun merekodkan kutipan hasil berjumlah lebih RM300 juta setakat 31 Jun lepas berbanding sasaran pada tahun ini iaitu RM588 juta.

“Saya percaya dengan usaha gigih JKDM negeri dalam mempertingkatkan hasil yang sedikit sebanyak dapat membantu usaha kerajaan dalam membaik pulih ekonomi negara dan seterusnya membantu rakyat,” katanya.- BERNAMA