Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyerahkan beg cenderahati kepada pelancong dari Chengdu, China yang baru tiba dengan penerbangan China Air di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2023.

SEPANG – Tahap perkhidmatan sektor pelancongan negara dalam semua aspek perlu ditambah baik supaya ia dapat memberi pulangan besar kepada negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Ia kerana, sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

“Kita mesti menaik taraf perkhidmatan kepada pelancong-pelancong dari seluruh dunia supaya dapat memacu ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas menyambut penerbangan sulung China Air dari Chengdu ke Terminal 1, Lapangan Terbang Kuala Lumpur petang tadi.

Penerbangan CA483/484 tiba kira-kira pukul 6 petang tadi.

Ketibaan pesawat China Air CA483/484 disambut dengan pancutan air selepas pelancaran laluan baharunya dari Wilayah Chengdu, China ke Kuala Lumpur di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2023.

Setiap penumpang pesawat berkenaan diberikan beg cenderahati sebagai selamat datang ke negara ini.

China Air berkata, sempena pelancaran laluan itu, ia menawarkan kekerapan empat kali seminggu ke Kuala Lumpur iaitu Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu.

Perkhidmatan baharu itu membolehkan penumpang membuat sambungan lebih mudah dengan penerbangan dari mana-mana lapangan terbang antarabangsa atau dari dalam China sendiri menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Tianfu di Chengdu.

Penerbangan sulung China Air itu membawa seramai 150 orang penumpang.

China Air telah mengendalikan sebanyak 672 laluan penumpang ke 151 bandar di 25 negara dan wilayah.

Sehingga 31 Mac tahun ini, syarikat penerbangan itu termasuk anak syarikatnya mempunyai sejumlah 898 pesawat dari semua jenis terutamanya Boeing dan Airbus. – MalaysiaGazette