Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam hendaklah bersedia, malah wajib melakukan penghijrahan minda dan budaya agar berupaya memahami serta mentafsirkan isu-isu semasa daripada pelbagai dimensi, selain bertenaga menangani, menguasai situasi semasa, terutama revolusi teknologi yang sedang pesat berlaku.

Baginda bertitah, penghijrahan minda memerlukan minda yang bersedia keluar daripada kepompong kejahilan dan zon keselesaan, selain perlu berani menerokai pengetahuan, kemahiran, medium serta kaedah baharu, yang dirintis selari dengan keperluan zaman.

“Penghijrahan minda memerlukan minda yang dahagakan kemajuan, minda bijaksana, minda yang rasional, minda merdeka yang tidak berjiwa hamba dan minda yang tidak gentar pada perubahan,” titah Sultan Nazrin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sultan Nazrin bertitah penghijrahan budaya pula merupakan kesediaan meninggalkan budaya usang dan lapuk, digantikan dengan budaya lebih dinamik yang mencerminkan keluhuran budi, mengamalkan disiplin, memiliki maruah serta harga diri, bersifat amanah, jujur, ikhlas bertunjangkan prinsip dan nilai Islam.

“Penghijrahan adalah suatu jihad dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah akan memperoleh kejayaan dan kemudahan-kemudahan hidup yang lebih baik,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, cabaran yang semakin rencam dan rumit memerlukan perubahan minda serta budaya yang dapat disesuaikan mengikut tuntutan masa, namun tetap memenuhi nilai tauhid agar manusia tidak terpesong daripada tafsiran hidup sebenar.

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah abad ke-21 yang menyaksikan pembangunan teknologi telah mengupayakan manusia merentasi dunia tanpa sempadan, masyarakat perlu melihat dunia dengan lensa lebih terbuka dan minda lebih optimis.

Baginda bertitah umat Islam harus bersedia pada setiap masa untuk mendepani perubahan kerana ia merupakan ketetapan Allah SWT yang pasti berlaku, selain alam dan seisinya turut berubah, bahkan pendekatan, perspektif, wawasan, sistem, visi, misi, konsep, teori dan sebagainya akan terus berubah.

“Kerana itu, penghijrahan ialah suatu manifestasi tuntutan pembaharuan yang diperlukan seiring perubahan tamadun dan zaman,” titah Sultan Nazrin. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast