warga asing antara enam suspek ditahan semasa mencuri kabel menggunakan lori di depan sekolah di AU4 Ampang Jaya di sini tengah malam Rabu.Ihsan IPD AMPANG

AMPANG – Enam lelaki termasuk tiga warga asing yang disyaki mencuri kabel di hadapan sebuah sekolah di Jalan AU4, Ulu Kelang dekat sini berjaya berkas.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada 12.12 tengah malam semalam,  polis menerima aduan daripada pengadu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun mengenai kejadian itu.

“Pengadu seorang mekanik telah melihat sekumpulan lelaki sedang menarik kabel dan memasukkan ke dalam sebuah lori pada waktu tengah malam dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi talian 999.

“Bertindak atas maklumat itu sepasukan polis peronda telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati sekumpulan lelaki bersama kabel yang dimasukkan dalam lori,’ katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Polis yang melakukan pemeriksaan telah menahan tiga lelaki tempatan dan tiga lagi warga asing, masing-masing berusia 18 hingga 32 tahun.

“Polis berjaya merampas pelbagai kabel, alat pemotong kabel, sebuah lori yang digunakan suspek untuk memunggah barang curi itu di lokasi kejadian.

“Tiga daripada suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Mereka sedang direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.- MalaysiaGazette