KUALA LUMPUR – Peneraju Proklamasi Orang Melayu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau masih lagi relevan termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Dr. Mahathir, tindakan Anwar yang masih bercakap tentang dirinya membuktikan bahawa beliau masih relevan kepada perdana menteri dan tanah air.
“Saya dengar PM akan jadikan saya irrelevant (tidak relevan). Tapi dia kata irrelevant dia tegur saya. Bermakna saya masih relevanlah.
“… (Sebenarnya) Anwar pandang saya relevan, kalau tidak nak cakap pasal saya kenapa? Kalau saya tak relevan tak payah cakaplah,” kata bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu kepada MalaysiaGazette.
Dr. Mahathir berkata, banyak pihak melihat beliau masih relevan terutama masyarakat luar negara.
Bekas perdana menteri itu mendakwa terdapat pemimpin luar yang mendapatkan pandangan beliau mengenai banyak perkara serta menyelesaikan masalah
“Banyak orang datang jumpa saya, tanya nasihat. Jadi nampak lebih ramai orang pandang saya, saya releven daripada irrelevant.
“Seluruh dunia pun tanya saya, tak tanya orang ini (Anwar). Baru-baru ini seorang pemimpin negara Arab telefon saya untuk mengetahui macam mana nak perbaiki keadaan di negara mereka.
“Saya pergi ke Korea tiap-tiap tahun. Kenapa panggil saya? Saya umur sudah 98 tahun? Tahun depan mereka panggil lagi,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, pihak berkenaan tidak akan mendapatkan nasihat jika beliau bodoh dan tidak boleh bercakap lagi.
Pada 10 Julai lalu semasa Persidangan Undang-Undang Malaysia Antarabangsa 2023 Anwar berkata, beliau akan menjadikan Dr. Mahathir tidak lagi relevan.
Menurut Anwar, kenyataan Dr. Mahathir mengenai promosi negara Malaysia berbilang bangsa sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah cubaan terdesak bekas perdana menteri itu untuk dilihat masih relevan.
“Bekas PM itu (Mahathir) telah kehilangan kerusi parlimen di Langkawi. Saya rasa kita tidak perlu ambil serius mengenainya. Ia adalah cubaan terdesak beliau untuk mendapat perhatian, untuk dilihat relevan.
“Saya akan jadikan beliau tidak relevan, saya tidak akan memberikan sebarang komen mengenainya (kenyataan Dr Mahathir),” katanya yang menjawab soalan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong.-MalaysiaGazette