Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Foto MOHD ADZLAN 26 JUN 2023.

KLANG – Bekalan telur dan ayam kini telah kembali normal selepas melepasi tahap getir, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Malah, ada sebahagian kawasan sudah mula menurunkan harga jualan ayam.

Perkembangan itu, jelasnya, adalah hasil daripada pelbagai usaha kementerian berkenaan termasuk melakukan berdialog dengan persatuan penternak demi memastikan bekalan  mencukupi.

“Kita harap tidak ada perperangan (krisis kekurangan) baru dan sebagainya yang boleh menjejaskan import bijirin jagung dan soya.

“Kita tahu bijirin jagung masih baru di tahap permulaan penanamannya dan lambat lagi untuk mencukupkan bekalannya,” katanya selepas merasmikan Bangunan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Klang, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad mengakui bekalan beras tempatan kurang di kawasan tertentu.

“Memang ada berlaku, kita tahu keadaan cuaca. Yang begitu tidak sesuai untuk padi pada musim lepas jadi pengeluaran sedikit kekurangan,” tambah beliau.

Namun katanya, bekalan beras bagi seluruh negara adalah mencukupi.

Justeru beliau mengingatkan pengilang supaya tidak menyimpan bekalan yang ada di premis masing-masing supaya tidak berlaku kekurangan beras. -MalaysiaGazette