Temubual SkopMG bersama Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 20 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan mahu mengharamkan parti UMNO ketika mentadbir negara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Lantaran itu, Mahathir mendesak pihak yang mendakwa beliau mahu mengharamkan UMNO tampil dengan bukti.

Bagaimanapun Mahathir mengakui beliau ada meminta Ahmad Zahid membubarkan UMNO ketika Presiden UMNO itu menemuinya selepas PRU14.

“Saya tak tau sama ada saya kata haram atau tidak. Tapi (saya) ingat suruh (Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) membubarkan UMNO.

“Kita tidak pernah ambil tindakan untuk mengharamkan UMNO. Kalau ada orang kata saya kata macam itu, saya nak tanya buktilah bila saya kata?” tegas Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette hari ini bagi program Skop MG.

Beliau meminta parti tersebut dibubarkan kerana UMNO ketika itu tidak lagi berpegang kepada dasar dan perjuangan asal.

“UMNO sudah jadi parti cash is king, parti duit. Jadi saya kata ini bukan parti UMNO patut dibubar jangan guna nama UMNO tapi buat benda yang bertentangan dengan perjuangan parti.

“Saya lihat ramai ahli UMNO lompat masuk Bersatu. Yang tinggal sedikit sahaja. Saya beritahu kepada Zahid ketika berjumpa saya, saya kata bubarkan parti UMNO dan berada dalam Bersatu.

“Ini bukan parti yang berjuang melawan Malayan Union dan kemerdekaan. Ini bukan pun parti di bawah perdana menteri pertama, kedua, ketiga dan keempat. Masuk kelima lari daripada perjuangan UMNO, sebab itu UMNO perlu dibubar,” kata Mahathir.

Dr. Mahathir Mohamad

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Mahathir dan Presidan Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin merancang mahu mengharamkan UMNO.

Anwar berkata, beliau dan pemimpin Pakatan Harapan lain tidak bersetuju untuk UMNO diharamkan.

Temubual penuh Skop MG bersama Mahathir akan disiarkan di semua platform MalaysiaGazette pada pukul 9.30 malam ini.

Mahathir antara lain ditanya mengenai pentadbiran kerajaan, menteri yang menunjukkan prestasi atau tidak, isu 3R dan penggunaan Akta Hasutan, keputusan menyambung Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura serta keputusan menghentikan projek Monorel di Putrajaya.

Beliau juga memberi pandangan mengenai kuasa politik orang Melayu dan bagaimana Proklamasi Orang Melayu dapat menyatukan semula kaum berkenaan yang kini berbeza parti politik.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kau tu kan dah nyanyok. Mestilah kau tak ingat apa kau cakap. Tak payahlah nakk perasan baik sangat. Tak siapa nak percaya dah

Comments are closed.