Sepasukan lapan orang anggota Pasukan Elit UPNP melakukan rondaan dan serbuan di KotaSAS di Kuantan hari ini

KUANTAN – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menahan enam lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan yang sah di daerah ini, hari ini

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sepasukan lapan orang anggota Pasukan Elit UPNP yang melakukan rondaan di sekitar daerah Kuantan itu berjaya menghidu aktiviti tersebut kira-kira jam 2.15 petang.

”Anggota UPNP kemudiannya telah melakukan intipan dan melihat aktiviti perlombongan itu dengan menggunakan dua buah jengkaut dan tiga buah lori tipper sebelum serbuan dilakukan.

”Pengusaha lombong itu gagal mengemukakan sebarang kelulusan bagi aktiviti memunggah bahan mineral tersebut apabila diminta pegawai bertugas,” katanya menerusi kenyaataan, hari ini.

Ekoran itu, Pegawai Penguatkuasa UPNP menahan kesemua suspek dan menyita dua buah jengkaut dan tiga buah lori tipper di lokasi kejadian.

Wan Rosdy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara secara tidak sah atau apa juga aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang tegas supaya aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan dapat dibenteras. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pasukan elit UPNP gagalkan aktiviti perlombongan haram di Sungai Ular

Pengendali jengkaut lari ketika serbuan teroka tanah haram di Raub

Pahang sita lombong haram di Lipis

Tasik Chini : Antara fakta dan auta