KUALA LUMPUR – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya mengesan dan menggagalkan perlombongan disyaki haram atas tanah kerajaan terpencil di Kampung Keledek, Mukim Batu Yon, Lipis semalam.

”Saya ucapkan tahniah kepada kepada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP). Ucapan tahniah juga kepada Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak yang sanggup turun padang menyertai operasi risikan yang dilakukan sehari sebelumnya,” kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail menerusi akaun Facebook beliau.

Menurut beliau, semasa anggota-anggota UPNP memasuki kawasan, tiada sebarang aktiviti dilakukan tetapi mendapati terdapat kesan aktiviti disyaki melombong.

Hasil operasi, tindakan sita diambil meliputi sebuah jengkaut, sebuah lori, sebuah generator, sebuah pam air dan dua buah motosikal.

”Saya dimaklumkan, di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 jika notis sitaan dituntut oleh pelombong disyaki haram serta sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

”Sekiranya notis sitaan tidak dituntut pula, Seksyen 141 enakmen yang sama menetapkan bahawa proses pelucuthakan benda-benda yang disita boleh diambil,” katanya.

Wan Rosdy berkata, sepanjang tahun 2021 ini, UPNP berjaya menyita 27 buah jentera excavator, 26 buah lori, 24 pam air, tiga palong, lima set mesin pemecah batu, tiga buah motosikal, satu set pengesan logam; dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM2.2 juta. – MalaysiaGazette