KUANTAN – Pasukan elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya menggagalkan aktiviti perlombongan bauksit secara haram di sekitar kawasan Sungai Ular, Kuantan dalam kejadian 6.30 petang semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketika kejadian, tiga orang anggota pasukan elit UPNP telah melakukan rondaan harian bagi aktiviti pemantauan pasir silika di sekitar Sungai Baging dan Sungai Ular.
”Ketika rondaan sekitar jam 6.20 petang, anggota pasukan elit UPNP telah menerbangkan dron dan melihat aktiviti melombong bahan mineral (bauksit) di sekitar Sungai Ular-Malaysia-China Kuantan Industrial Park.
”Mereka kemudiannya telah pergi ke lokasi kejadian dan meminta pemandu lori mengemukakan sebarang dokumen namun gagal,” katanya menerusi kenyataan hari ini,” katanya.
Tambahnya, anggota elit UPNP telah menahan dan menyita empat buah lori dan dua buah jengkaut di bawah Seksyen 137 (1) Enakmen Mineral Negeri 2001.
“Suspek didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 iaitu penalti kerana melombong tanpa lesen atau pajakan yang sah.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada UPNP kerana telah berjaya menggagalkan aktiviti perlombongan haram ini,” katanya.
Wan Rosdy menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di seluruh negeri ini dan usaha-usaha membanteras aktiviti sebegini akan sentiasa diteruskan setiap masa. – MalaysiaGazette
















