Anggota UPNP merampas sebuah jentera jengkaut untuk tujuan siasatan lanjut bersabit di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pendudukan secara tak sah di atas tanah kerajaan

KUANTAN – Seorang pengendali jentera jengkaut melarikan diri ketika  kegiatan pembukaan tanah haram dihidu Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Pahang Barat di Raub semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, suspek sebelum itu masih melakukan kerja pembersihan lari meninggalkan jentera jengkaut ketika serbuan dilakukan oleh UPNP.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, anggota UPNP Zon Pahang Barat telah melakukan rondaan penguatkuasaan sekitar daerah Raub kira-kira jam 3.30 petang semalam.

“Setibanya di Sungai Rambai, anggota UPNP mendapati sebuah jentera jengkaut sedang melakukan kerja-kerja membersihkan sekitar kawasan tersebut.

“Anggota operasi telah bertindak menahan jengkaut tersebut namun pemandunya melarikan diri terlebih dahulu setelah menyedari kehadiran anggota UPNP,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Wan Rosdy, susulan itu seorang lelaki tampil dan memperkenalkan diri sebagai pemilik jengkaut.

Pegawai serbuan kemudiannya telah meminta pemilik jengkaut tersebut memberi dokumen kelulusan atau permit berkenaan aktiviti yang dilakukan namun individu tersebut gagal menyediakannya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Pasukan elit UPNP gagalkan aktiviti perlombongan haram di Sungai Ular

Pahang sita lombong haram di Lipis

Tasik Chini : Antara fakta dan auta

Anggota UPNP kemudiannya bertindak merampas jentera tersebut untuk tujuan siasatan lanjut kerana disyaki aktiviti  tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 iaitu pendudukan secara tak sah di atas tanah kerajaan.

Wan Rosd menegaskan pihaknya tidak sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di mana-mana kawasan pun di negeri ini.

“Malah, saya juga telah meminta UPNP untuk meneruskan operasi penguatkuasaan setiap masa bagi memastikan aktiviti sebegini dapat dibanteras dengan sebaik-baiknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast