Sultan Ibrahim Sultan Iskandar beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan Hospital Pakar Damansara 2 sebelum berangkat pulang.

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berangkat pulang dari Hospital Pakar Damansara 2 (DSH 2) setelah selamat menjalani pembedahan.

Baginda menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pakar perubatan dan warga DSH 2 yang telah memberi perkhidmatan terbaik.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua doktor, jururawat serta kakitangan yang telah merawat dan membantu saya.

“Baru beberapa hari di sini, tetapi keikhlasan mereka semua membuat saya rasa terharu, seperti ada keluarga baru di sini,” titahnya menerusi perkongsian di laman Facebook baginda.

Tuanku Sultan Ibrahim akan menjalani rawatan susulan selama beberapa hari sebelum berangkat pulang ke Johor.

Setelah berangkat dari hospital, baginda santap di sebuah pusat membeli belah di ibu negara.

“Saya sepatutnya direhatkan seketika di ICU (unit rawatan rapi) setelah pembedahan, namun Alhamdulillah, saya rasa cukup elok untuk terus ke wad biasa

“Saya jalan sendiri dari dewan bedah ke wad saya. Doktor pun terkejut. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT, berkat doa orang ramai dan Bangsa Johor, saya selamat melalui rawatan ini dan berharap dapat sambung kerja saya,” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast