Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan memecahkan pintu bilik kawalan sebuah apartmen di Taman Nirwana, Ampang, di sini, semalam kerana berang ditegur pengawal keselamatan.

Pengawal keselamatan itu membuat teguran setelah penghantar makanan memasuki laluan yang salah mengakibat pertengkaran berlaku antara keduadua individu itu pada jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus keselamatan apartmen terbabit setelah melihat insiden tersebut daripada kamera litar tertutup (CCTV) di bilik kawalan.

“Lelaki itu tidak berpuas hati dimarahi oleh pengawal itu sebelum bertindak memukul pintu bilik kawalan menggunakan besi pengunci motosikal sehingga pecah dan menyebabkan kerugian RM200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam,bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek jam 4.30 petang pada hari kejadian selepas lelaki yang berusia 16 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membantu siasatan.

Tambah beliau, pihaknya merampas motosikal dan pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

“Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi untuk permohonan perintah reman dan dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 24 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Mohd Azam beerkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette