Foto Instagram Heberty Fernandes.

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat pengumuman mengejutkan apabila mengesahkan ketibaan pemain import baharu pasukan, Heberty Fernandes.

Menerusi satu pengumuman menerusi rakaman video pengenalan di Facebook Johor Southern Tigers, Heberty bakal menambah sengat di bahagian serangan pasukan Harimau Selatan terutamanya sebagai persediaan beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC.

Sebagai rekod, penyerang berusia 34 tahun ini merupakan penjaring terbanyak Liga Thailand apabila merekodkan 159 gol dalam 249 perlawanan di sana.

Penyerang sensasi Liga 1 Thailand pernah beraksi bersama Bangkok United dan pernah mewakili beberapa pasukan di sana.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu skuad Harimau Selatan akan menerima ketibaan pemain baharu selepas mengesahkan khidmat penyerang sensasi pasukan, Diogo Louis Santo tidak dapat digunakan selama beberapa bulan.

JDT pernah mencuba untuk membawa masuk pemain ini pada tahun 2018 bagi mengisi peranan selaku penyerang pasukan ketika Heberty masih beraksi buat Muathong United. – MalaysiaGazette