Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor lima jam sebelum pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, Selasa lalu didakwa hanya mahu menarik sokongan rakyat.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kesalahan Muhammad Sanusi masih belum jelas hingga diburu dan ditangkap di awal pagi.

“Apa yang ada pada mereka hanyalah jenama sahaja bagi menarik sokongan rakyat, dalam keadaan mereka bersifat menipu, berbohong dan lain-lain.

“Malah mereka bersifat seperti binatang sesumpah yang boleh berubah-ubah warnanya bagi menggoda rakyat yang sentiasa ditipu dan dizalimi.

“Kerjanya hanyalah mencari keredaan manusia, malah sokongannya bukan ikhlas kerana Allah SWT,” kata Abdul Hadi dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Selasa lalu Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik pada 11 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Ia susulan kenyataan Muhammad Sanusi dalam ceramah politiknya di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak pada 11 Julai lalu, jam 11 malam yang mengeluarkan kenyataan didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja).

Abdul Hadi mendakwa, konsep Malaysia Madani yang dibentuk Kerajaan Perpaduan hanya sekadar pada jenama semata-mata.

“Banyak amal kebajikan yang besar dapat dilakukan melalui negara bermasyarakat madani yang berpandukan al-Quran.

“Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan pelbagai salah laku.

“Dalam sebuah negara madani yang berlandaskan iman dan budiman, pemimpin dan rakyat sama-sama menyahut seruan Allah SWT dan tawarannya berwawasan jauh, bukan sahaja dunia, bahkan hingga akhirat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Masa ko memerintah…Hamzah jd Menteei Dalam Negeri..rakyat berumur 61 tahun kritik Sanusi.. Pakcik tu ditangkap polis jam 3 pagi. Masa tu kenapa ko tak melalak?? Lebai munafik

Comments are closed.