Antara menu yang ada di Restoran Hameediyah, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 15 JULAI 2023.

SIAPA tidak tahu Hameediyah, sebuah restoran nasi kandar yang begitu popular di Pulau Pinang.

Orang kata, tak sah kalau ke Pulau Pinang tak ‘beratur’ untuk makan di restoran ini.

Tapi itu dulu kerana Hameediyah  sudah melebarkan operasinya. Cawangan kelimanya yang bertempat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dilihat benar-benar next level.

Berkonsepkan bistro, Hameediyah Bukit Bintang menyantuni penggemar nasi kandar dengan cara tersendiri.

Temubual bersama Pemilik Restoran Hameediyah,Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim di Restoran Hameediyah, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 15 JULAI 2023.

Menurut pemilik Resotran Hameediyah ini, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, konsep ini bersesuaian dengan lokasinya.

Di sini, Hameediyah menawarkan kelaianan kepada para pengunjungnya, yang rata-rata dalam kalangan pelancong.

“Kita mahu pelancong tengok macam mana cara orang dulu berniaga nasi kandar. Mereka pakai ala orang lama dengan kain pelikat, baju-T pagoda serta bertali pinggang hijau ‘umrah’.

“Semua ini mengimbau kenangan restoran ini di awal pembukaannya dahulu,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Suasana di bahagian galeri tingkat 2 Restoran Hameediyah, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM.

Terletak di tengah-tengah segi tiga emas Kuala Lumpur, restoran empat tingkat ini menjanjikan sesuatu kelainan daripada biasa.

“Pilih saja nak duduk di mana – sama ada bistro di tingkat 1 dengan suasana mamak atau galeri yang berada di tingkat 2.

“Kalau berada di galeri, macam makan dalam muzium kerana kami ada letakkan koleksi barangan asal atuk nenek saya dulu berniaga.

“Ia dipamerkan di ruang ini, selain dinding-dinding juga kami hias cantik dengan lukisan kenangan mereka berniaga dulu.

“Sambil makan sambil dapat tahu sejarah asal Hameediyah,” katanya lagi.

Sotong goreng antara menu pilihan pelanggan di Restoran Hameediyah, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 15 JULAI 2023.

Jelasnya lagi, tidak lama lagi dua lagi tingkat restoran ini akan beroperasi iaitu berkonsepkan fine dining dan juga roof top.

Nasi kandar atau beriani, semuanya masih sama, cuma dalam suasana berbeza. Anda kena cuba sendiri.

Menu-menu di sini juga masih mengekalkan keaslian dari negeri Pulau Mutiara namun ada beberapa menu baharu diperkenalkan sebagai signature baharu buat Hameediyah.

Antaranya rendang ayam, kari itik, lamb shank dan ayam turki (piru).

Tidak ketinggalan menu sotong viral, ayam bawang, ketam serta mi goreng antara yang mendapat perhatian ramai.

Beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan 11 malam untuk Sabtu dan Ahad, restoran ini tidak jauh dari stesen MRT Bukit Bintang. Keluar sahaja pintu 18A, beberapa langkah sudah pun sampai. – MalaysiaGazette