ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT ) menepati ramalan apabila menjulang piala FA buat tahun kedua berturut- turut selepas menewasjan Kuala Lumpur City ( KL City FC) 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini malam tadi.
Kejayaan itu cukup manis apabila mempertahankan kemenangan itu di hadapan penyokong sendiri.
Kemenangan ini adalah kejuaraan ketiga selepas memenangi trofi itu pada musim lalu dan musim 2016.
Keputusan itu juga bermakna The City Boys terlepas peluang untuk melayakkan diri ke peringkat kumpulan Piala AFC bagi musim depan.
Edisi Piala FA ke-33 ini menyaksikan perlawanan seimbang pada babak pertama apabila kedua pasukan saling membuat serangan ke arah kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan kelebihan gol awal.
Kebijaksanaan Bojan Hodak mengatur percaturan bagi berdepan pasukan tuan rumah dilihat menjadi, apabila anak buah Esteban Solari gagal dan tidak berupaya meruntuhkan benteng kukuh KL City FC.
Kedudukan Giancarlo Gallifouco dan Lambert Ryan di barisan pertahanan menjadikan jentera serangan JDT sukar untuk membolosi gawang pasukan lawan yang dikawal Kevin Ray Mendoza.
Bergson Da Silva mengetuai jentera serangan JDT berjaya mengaburi benteng pasukan lawan namun sentuhan penyudahnya gagal menepati pintu gol lawan.
Minit ke-27, JDT hampir mencipta gol pembukaan menerusi sepakan Afiq Fazail sebelum dikuis Mendoza sebelum menggegar palang gol lawan.
Pada minit ke-36, giliran KL City FC pula mendapat gol keemasan menerusi gerakan yang diilhamkan Morales namun hantaran yang diterima T. Saravanan gagal disudahkan dengan baik.
Tiga minit berselang, Fernando Forestieri turut berjaya meletakkan diri di kedudukan tepat untuk menjaringkan gol namun rembatan lencong kaki kanan namun sedikit tersasar.
KL City FC dilihat berjaya mengekang kemaraan JDT dan perlu meneruskan disiplin pertahanan itu sekiranya mahu menyekat percubaan pasukan tuan rumah.
Pada minit ke-57, JDT berjaya menjaringkan gol selepas Bergson pantas menolak bola ke gawang KL City namun gol tersebut tidak dikira selepas penjaga garisan mengangkat bendera menandakan penyerang itu berada di posisi ofsaid.
Empat minit berselang, JDT sekali lagi hampir mencipta jaringan namun tandukan Feroz sedikit tersasar dari pintu gol lawan.
Ketika jentera serangan JDT dilihat ketandusan idea memburu gol, Nathaniel Shio Hong Wan muncul penyelamat dengan melakukan rembatan deras dari jarak 25 meter yang menerjah penjuru kanan gawang KL City menewaskan Mendoza pada minit ke-66.
Hong Wan yang meledak jaringan pertamanya bersama JDT itu hadir pada pentas yang penting buat pasukan untuk memburu kemenangan Piala FA bagi dua musim berturut-turut.
Pada minit ke-74, Leandro Velazquez meletakkan pasukan di kedudukan yang selesa selepas meledak gol kedua pasukan sekali gus meruntuhkan semangat juang pasukan KL City.
Impian KL City FC skuad kendalian Hodak untuk bangkit pada perlawanan itu tidak membuahkan hasil setelah tiada pertambahan gol dilakukan sehinggalah wisel penamat ditiupkan.- MalaysiaGazette