NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mula melaksanakan penilaian risiko di sekolah bagi menjamin keselamatan guru dan pelajar sekali gus mengelakkan berlakunya kemalangan membabitkan persekitaran dan peralatan yang digunakan mereka.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia terbukti apabila peruntukan RM70,000 diagihkan kepada setiap sekolah di seluruh negara bagi kerja menaik taraf dan menyelenggara sekolah demi keselesaan serta keselamatan pelajar.
“Kita tak ada masalah (untuk pengurusan semua sekolah laksanakan penilaian risiko) dan memang ia juga dalam pemerhatian pihak kita. Sebab itu kita agihkan peruntukan RM70,000 untuk menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah dan ini memang sangat kena pada masanya.
“Alhamdulillah semua proses kerja dan intervensi telah dilaksanakan itu dalam proses.
“Dalam masa sama kita mengingatkan semua sekolah untuk mengambil langkah berhati-hari dalam memastikan keselamatan murid dalam bangunan serta kawasan sekolah,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah yang menyarankan supaya penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran dan peralatan yang digunakan di sekolah dilaksanakan.
Ia susulan pada Selasa lalu, seorang murid perempuan Tahun Tiga SK Perpaduan, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, cedera ditimpa tangki pam tandas yang tercabut ketika menggunakannya.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri Majlis Pelancaran Program KV Insani Masyarakat Madani Pulau Pinang di Sungai Acheh di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Fadhlina berkata, kadar kebolehpasaran pelajar keluaran Kolej Vokasional setakat Julai mencatatkan 91.6 peratus yang ia sesuatu yang membanggakan.
“Kita tahu pada setiap hujung tahun kadar kebolehpasaran mencapai sehingga 98 ke 99 peratus tetapi ini baru sahaja Julai ia sudah mencapai 91.6 peratus membuktikan bahawa keluaran Kolej Vokasional memenuhi kehendak industri dan inilah yang kita mahukan,” katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai insiden pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas dipercayai terjatuh bangunan di sebuah sekolah di Melaka, Fadhlina berkata, KPM menekankan konsep sekolah selamat bukan saja isu membabitkan gangguan buli malah termasuk keselamatan dari segi infrastruktur.
“Jadi kita mesti pastikan sama-sama membuat intervensi dan memastikan keselamatan anak kita dari semasa ke semasa,” katanya.
Media semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pelajar perempuan Tingkatan Satu yang maut selepas dipercayai terjatuh bangunan sekolah menengah dekat Durian Daun itu, sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Muar, Johor.
Kata beliau, pelajar berasal dari Muar itu juga perlu makan dua jenis ubat penenang bagi merawat penyakit dihidapinya.
“Selain itu, pelajar terbabit juga dikenakan perintah pemulihan akhlak selama dua tahun di sebuah sekolah pemulihan akhlak di Melaka iaitu di Bukit Baru tetapi bersekolah di sebuah sekolah menengah di Durian Daun,” katanya. – MalaysiaGazette