Negara Turkiye moden adalah terbina kesan langsung daripada Perjanjian Lausanne yang ditandatangani pada 24 Julai 1923. Gambar oleh Igor Sporynin - Unsplash.jpg

Oleh: Dr. Abu Hanifah Haris

PERJANJIAN Lausanne ialah perjanjian damai yang ditandatangani pada 24 Julai 1923 antara kerajaan Turki Uthmaniyah dengan Allied Powers (Kuasa Bersekutu) diwakili oleh British, Perancis, Itali dan beberapa negara lain selepas berakhirnya empayar Perang Dunia Pertama (1914-1918), dan berakhirnya Turkish War of Independence atau Perang Kemerdekaan Turki (1919-1923). Ketika mPerang Dunia Pertama, Turki yang berada di pihak Central Powers (Kuasa Pusat) diwakili Jerman, Austria-Hungary, Bulgaria dan beberapa negara lain dikalahkan oleh Allied Powers diwakili oleh British, Perancis, Itali dan beberapa negara lain. Dalam Perang Kemerdekaan Turki pula, negara ini berjaya mengalahkan Greece dan beberapa kuasa Barat lain yang cuba mencerobohi kedaulatan
Turki.

Nama ‘Lausanne’ adalah sempena tempat berlangsungnya persidangan yang membawa kepada termeterainya perjanjian ini iaitu di Lausanne, Switzerland. Delegasi kerajaan Turki diketuai oleh Ismet Inonu, manakala delegasi Allied Powers pula diketuai oleh kerajaan British diwakili oleh Lord Curzon. Delegasi Turki juga mengemukakan 14 prinsip yang dipersetujui oleh Turkish National Assembly di Ankara, termasuklah isu wilayah Mosul yang bersempadan dengan Iraq di selatan Turki, isu wilayah Armenia di selatan Turki, dan isu Thrace yang bersempadan dengan Greece di utara Turki. Perbincangan berkaitan kandungan Perjanjian Lausanne berlangsung sekitar 8 bulan, iaitu antara bulan November 1922 hingga Julai 1923, dan terbahagi kepada 2 sesi.

Sesi pertama bermula pada 21 November 1922 hingga 4 Februari 1923, manakala sesi kedua bermula pada 23 April 1923 dan berakhir dengan termeterainya Perjanjian Lausanne pada 24 Julai 1923. Turkish National Assembly pula hanya mengesahkan perjanjian tersebut pada 23 Ogos 1923. Dokumen perjanjian tersebut bukanlah satu dokumen tunggal, sebaliknya mempunyai 4 bab dan 143 klausa, di samping
17 protokol dan persetujuan yang berbeza sebagai dokumen tambahan.

Tahun 2023 pula merupakan genap 100 tahun Perjanjian Lausanne ditandatangani. Perjanjian ini jelas memberikan kesan penting bukan sahaja terhadap kedudukan politik dan sempadan rantau Timur Tengah, tetapi lebih penting lagi kepada Turki sendiri (kini dikenali sebagai Turkiye) dari segi kemerdekaan, kedaulatan dan sempadan Turki selepas berakhirnya era kerajaan Turki Uthmaniyah. Terdapat 5 kesan utama Perjanjian Lausanne kepada Turki dan rantau Timur Tengah.

Antaranya ialah Perjanjian Lausanne membawa kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah dan institusi khilafah sejak diasaskan sekitar tahun 1299. Pada 1 November 1922, Grand National Assembly akhirnya meluluskan undang-undang yang menghapuskan institusi khilafah secara rasmi. Pada 4 November 1922, kabinet kerajaan Istanbul di bawah Grand Vizier Tevfik Pasha akhirnya dibubarkan. Pada 16 November 1922, Sultan Vahideddin dan rombongannya akhirnya meninggalkan Istanbul menuju Malta.

Sepanjang kewujudannya iaitu hampir 640 tahun, kerajaan Turki Uthmaniyah bukan sahaja muncul sebagai Khilafah Islam yang berjaya menguasai hampir keseluruhan Timur Tengah menjelang abad ke-16, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada kemajuan dalam bidang ketenteraan, pendidikan, intelektual, dan perhubungan, termasuklah pembinaan jalan keretapi Hejaz pada awal abad ke-20 bagi memudahkan umat Islam di utara Timur Tengah ke Makkah bagi menunaikan haji. Selain itu,  kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1922, jawatan khalifah hanyalah sebagai Ketua Agama Islam yang dipilih oleh Grand National Assembly dan tiada lagi kuasa politik. Pengganti Sultan Vahideddin iaitu Abdulmecit II pula telah menghadiri upacara solat Jumaat terakhir sebagai khalifah pada 29 Februari 1924. Pada 3 Mac 1924, Grand National Assembly akhirnya meluluskan undang-undang yang menghapuskan jawatan khalifah, dan Abdulmecit II akhirnya meninggalkan Istanbul keesokan harinya.

Perjanjian Lausanne turut membawa kepada penubuhan negara-negara baharu dalam peta rantau Timur Tengah selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah seperti negara Iraq, Jordan, Palestin, Syria dan Lubnan. Hal ini kerana semua negara tersebut asalnya berada di bawah penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah. Namun sejak kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama dan termeterainya Perjanjian Lausanne menyebabkan Iraq berada di bawah Mandat British (1920-1932), manakala Syria dan Lubnan pula berada di bawah Mandat Perancis (1923-1946).

Penguasaan British dan Perancis terhadap negara-negara tersebut juga memberi kesan terhadap politik, pendidikan dan budaya di negara-negara tersebut yang lebih cenderung kepada pengaruh kuasa Barat tersebut. Pada tahun 1925, Jordan dan Palestin kemudian disahkan oleh Liga Bangsa sebagai negara baru, selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah.

Dalam konteks negara Turki moden, Perjanjian Lausanne juga membawa kepada kemunculan Republik Turki pada tahun 1923, diikuti pengesahan negara Barat terhadap kedaulatan negara tersebut. Tentera British akhirnya keluar dari Turki pada 2 Oktober 1923, manakala Ankara diisytiharkan secara rasmi sebagai ibu negara Turki yang baru pada 13 Oktober 1923. Pada 29 Oktober 1923, Republik Turki diisytiharkan secara rasmi oleh Grand National Assembly, manakala Mustafa Kemal pula dilantik sebagai Presiden Turki yang pertama, dan Ismet Inonu sebagai Perdana Menteri Turki yang pertama.

Perjanjian Lausanne juga membentuk sempadan negara Turki moden pada hari ini, khususnya sempadan Turki dengan negara jiran seperti Greece, Itali, Syria dan Iraq. Hal ini kerana selepas kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, maka Turki perlu menerima persempadanan baru yang ditetapkan oleh Kuasa Bersekutu. Antara perubahan sempadan yang berlaku ialah Turki menerima wilayah timur Thrace yang bersempadan dengan Greece, manakala Greece memperoleh sebahagian besar Kepulauan Aegean, kecuali Gokceada dan Bozcaada. Itali pula memperoleh 12 pulau lain di sekitar Kepulauan Aegean.

Turki juga berjaya memperoleh wilayah Izmir. Pada masa yang sama, Turki kehilangan Mosul yang kemudiannya menjadi sebahagian wilayah Iraq. Jatuh bangun sesebuah kerajaan itu tentunya sebuah rahsia Allah SWT. Namun menjadi tanggungjawab kita untuk mencedok pengajaran yang tersurat dan tersirat daripada peristiwa tersebut, demi mencari hikmahNya yang tersembunyi.

 

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Univeresii Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast