Kesemua pekerja asing yang ditahan sudah direman untuk bantu siasatan.

KUALA LUMPUR – Puluhan pekerja asing yang bekerja di kilang barangan lusuh di Bukit Kemuning, Shah Alam sanggup bersesak-sesak memanjat pagar untuk meloloskan diri.

Demi untuk mengelak ditangkap, ada dalam kalangan mereka mendakwa sebagai mahasiswa universiti awam dan datang ke kilang untuk bertemu kawan.

Bagaimanapun, segala cubaan mereka gagal apabila kesemua mereka diperiksa oleh sepasukan polis dari Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO)telah menggempur kilang tersebut.

Antara warga asing yng ditahan pasukan Atipsom Bukit Aman ketika cuba memanjat pagar dan tipu peljar universiti untuk meloloskan diri dari dicekup di kilang barang lusuh haram di Shah Alam semalam.

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Op Bersepadu Pintas itu dibuat pada jam lebih kurang 4 petang semalam dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Operasi itu bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dan ekploitasi buruh paksa.

“Menerusi pemeriksaan ke atas kesemua pekerja asing, dua pekerja lelaki dan perempuan warga Myanmar masing-masing berusia 17 dan 16 tahun yang  dieksploitasi sebagai buruh paksa berjaya diselamatkan.

Pekerja asing dikawal ketat oleh anggota pasukan Atipsom Bukit Aman dalam serbuan di kilang barang lusuh haram di Shah Alam semalam.

 

“Dalam serbuan berkenaan, seramai 52 warga asing termasuk dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 45 tahun telah ditahan polis untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Imigresen 1969/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya di sini.

Warga asing yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada 22 warga Myanmar, 16 warga Bangladesh, 11 warga China, dua warga Kemboja dan seorang Nigeria.

Tambah Fadil, pasukan Atipsom juga membuat tangkapan ke atas enam lelaki warga China yang merupakan pengurus serta pembantu pengurus kilang barang lusuh itu.

 

Anggota polis sedang menyiasat warga asing yng ditahan di kilang barang lusuh haram di Shah Alam semalam.

 

Keenam-enam suspek warga asing yang ditahan itu berusia lingkungan 25 hingga 42 tahun dan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana Memperdagangkan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Siasatan awal polis juga mendapati kilang barang lusuh itu beroperasi secara haram lebih setahun lalu dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Kesemua tangkapan warga asing itu kini direman 14 hari sehingga 4 Ogos ini untuk membantu siasatan lanjut.

Polis juga memperoleh Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari sehingga 11 Ogos ini untuk dua mangsa bawah umur yang diselamatkan itu, tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast