KUALA LUMPUR – Polis Selangor telah menerima tiga laporan berhubung kelakuan kurang sopan vokalis kumpulan pop rock The 1975 dalam persembahan di pentas Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang pada malam Jumaat.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga laporan polis itu telah diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA setakat hari ini.
Menurutnya, Polis Selangor menyokong penuh keputusan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) untuk membatalkan terus konsert terbabit yang sepatutnya berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini selepas mengambil kira faktor keselamatan.
“Insiden itu juga dikatakan telah menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia dan memperlekehkan undang-undang negara ini.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dalam isu ini yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.
Tambah beliau, dalam kes ini siasatan sedang dijalankan oleh polis di bawah Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menerusi laman Instagram rasminya menyifatkan tindakan vokalis kumpulam itu, Matty Healy yang berkelakuan tidak sopan dan mempersenda undang-undang berkaitan LGBT di negara ini dalam konsert itu sebagai perbuatan biadab.
Malah, beliau turut memanggil penganjur konsert berkenaan untuk memberi penjelasan berhubung perkara itu dan mengarahkan pembatalan baki konsert yang bakal dilangsungkan esok.
Penganjur juga diminta mencari mekanisme terbaik untuk ganti rugi kepada para pembeli tiket konsert itu.
Konsert kumpulan itu dihentikan selepas Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Dalam konsert itu, Healy dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Healy membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross Mcdonald di atas pentas.
Difahamkan ketika pertengahan persembahan, pentas tiba-tiba bertukar gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka disekat daripada meneruskan konsert berkenaan. – MalaysiaGazette