Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa tidak mengetahui keadaan sebenar kemiskinan dan penderitaan rakyat Malaysia khususnya di Kelantan yang kerap menggambarkan Pas sebagai mangsa kepada Kerajaan Persekutuan.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berkata, bekas Menteri UMNO itu kini sekadar jurucakap Pas yang hanya menyalahkan pihak lain tanpa melihat kegagalan parti Islam itu mentadbir Kelantan lebih 30 tahun lalu.

“Annuar kini sebagai jurucakap kepada Pas selepas menjadi jurucakap kepada UMNO telah memainkan kad mangsa.

“Kononnya segala yang menimpa rakyat dan Kelantan adalah salah orang lain, kecuali kepimpinan Pas di Kelantan yang telah ditadbirnya selama beberapa dekad.

“Rakyat Kelantan bergelut untuk meletakkan makanan di atas meja dan menampung kehidupan (sedangkan Annuar) seorang pemimpin yang mempamerkan kekayaannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Teresa juga mempersoalkan lima perkara yang dinyatakan Annuar sebagai kenapa calon Kerajaan Perpaduan perlu ditolak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sedangkan Pas tiada tawaran untuk mengatasi kemiskinan di negeri itu.

“Kelantan kekal di tempat kedua selepas Sabah, antara negeri termiskin di negara ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menghapuskan kemiskinan mutlak menjelang akhir tahun ini.

“Ia sememangnya satu tugas sukar tetapi mempunyai rancangan yang sedia mendorong kemahuan politik untuk melaksanakannya.

“Adakah Kerajaan Negeri Pas telah berikrar untuk menamatkan kemiskinan di Kelantan?

“Apakah tawaran PAS untuk pengundi di Kelantan jika diberi mandat bahawa mereka akan menamatkan kemiskinan?” soalnya.

Teresa juga menggesa Annuar berhenti mengelirukan rakyat Kelantan kononnya orang lain dipersalahkan atas nasib yang menimpa negeri di Pantai Timur itu.

“Adalah salah secara moral untuk mengancam pengundi di Kelantan dan di mana-mana sahaja di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, Pas masih gagal memberikan tawaran terbaik buat rakyat Kelantan untuk menangani masalah kemiskinan meskipun ditadbir parti itu sejak lebih 30 tahun lalu.

“Pas tiada tawaran yang menarik buat pengundi di Kelantan dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan asing, hak wanita dan kanak-kanak, masa depan belia serta pembaharuan sosial untuk masyarakat yang lebih Madani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast