JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengisytiharkan esok, 23 Julai 2023 sebagai hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh negeri susulan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan bola sepak dalam perlawanan akhir Piala FA 2023 malam tadi.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan cuti khas itu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Syukur Alhamdulillah di atas kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana berjaya merangkul Piala FA 2023 menentang Kuala Lumpur City FC dengan jaringan gol 2 – 0, serta mempertahankan kejuaraan tahun lalu dengan penuh gaya.

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 23 Julai 2023, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2023.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas segala perancangan serta usaha berterusan dalam membangunkan JDT menjadi sebuah kelab bola sepak yang disegani di Malaysia dan di rantau Asia,” katanya menerusi kenyataan media sebentar tadi.

Kemenangan Skuad Harimau Selatan ini merupakan piala kedua untuk tahun 2023, setelah memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini, serta Piala FA ketiga buat JDT, selepas tahun 2016 dan tahun 2022.

Buat semua peminat JDT, teruslah memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk setiap perlawanan yang akan datang, katanya. – MalaysiaGazette