KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka malam tadi selepas dua anggota Majlis Mesyuarakat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dari PKR digugurkan daripada menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN).
Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail (Batu Tiga) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian (Kajang).
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ia dilakukan bagi memberi laluan kepada golongan muda dan baharu memandangkan kedua-dua Exco itu telah berkhidmat selama tiga penggal di peringkat negeri dan Parlimen.
David Cheong dicalonkan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang manakala calon dari Parti Amanah Negara akan bertanding di DUN Batu Tiga.
“Ada pertukaran kawasan saat akhir, saya simpati dengan Rodziah tapi yang kena runding hingga peringkat akhir ialah saya. I am really sorry (maafkan saya). Keputusan ni bukanlah kita setuju semua tapi keadaan buntu dan kesediaan untuk tolak ansur.
“Sebab itu kita tukar, kita ambil Hulu Kelang dan kita serah Batu Tiga. Tetapi ada kebijaksanaannya kerana kita letak calon di Hulu Kelang, seorang tokoh yang berani dan berani lawan, Juwairiya Zulkifli.
“Bagi Kajang pula, keputusan yang sukar kerana Hee Loy Sian memainkan peranan yang sangat baik dan memuaskan tetapi kita rasa perlu berikan penonjolan kepada tokoh baharu. Kajang David Cheung Kian Yong,” katanya ketika berucap pada Pengumuman Calon PKR malam tadi.
PKR yang mengumumkan bertanding di 20 kawasan DUN dengan menampilkan 11 muka baharu termasuk Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) di Lembah Jaya, Aidi Amin di Kota Damansara, Thiban Subramaniam di Bukit Melawati.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bersama tiga exconya Borhan Aman Shah, Mohd Khairuddin Othman dan Mohd. Zawawi Ahmad Mughni akan mempertahankan kerusi masing-masing di Sungai Tua, Paya Jaras serta Sungai Kandis.
Beberapa nama besar digugurkan antaranya penyandang DUN Permatang, Rozana Zainal Abidin yang merupakan Ketua Wanita PKR Selangor; ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong serta ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar yang mana masing-masing digantikan dengan Mohd Yahya Sahri, Phua Pei Lei dan Dr Mohd Fahmi Ngah. – MalaysiaGazette
Rombakan besar-besaran calon PKR Selangor, Nurul Izzah ke Batu Tiga?