KUALA LUMPUR — Selepas melakukan aksi kontroversi pada pentas Good Vibes Festival 2023 (GVF) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di Sepang pada Jumaat lalu, The 1975 membatalkan dua persembahannya.

Pembatalan penampilan mereka di pentas We The Fest 2023 di Jakarta, Indonesia malam ini serta Live Nation Taiwan di Taipei pada Selasa diumumkan kedua-dua penganjur berkenaan.

“The 1975 dengan berduka cita mengumumkan bahawa persembahan mereka yang akan datang di Jakarta dan Taipei tidak akan berjalan seperti yang dirancang.

“The 1975 tidak pernah memandang ringan dengan keputusan membatalkan persembahan dan telah bersemangat untuk membuat persembahan di hadapan peminat di Jakarta dan Taipei.

“Tetapi malangnya, disebabkan oleh arus keadaan, adalah mustahil untuk meneruskan rancangan yang dijadualkan.

“Terima kasih kerana memahami dan menyokong berterusan,” kata kedua-dua penganjur yang memetik kumpulan pop-rock British itu menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan kumpulan pop-rock British The 1975 yang membatalkan persembahan di pentas Live Nation Taiwan pada Selasa.

Pada malam Jumaat lalu, persembahan kumpulan The 1975 di GVF 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan penonton.

Matty yang didakwa dalam keadaan mabuk ketika mengadakan persembahan turut memegang botol arak di atas pentas, selain meludah serta melakukan aksi kurang sopan.

Bukan itu sahaja, Matty turut membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan LGBT sebelum bertindak mencium mulut  pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.

Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku semasa persembahan di Dubai dan di Korea Selatan.

Susulan kejadian itu, semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang berbaki dua hari hingga hari ini dibatalkan serta-merta.

Katanya, pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia. -MalaysiaGazette