PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti beberapa perkara membabitkan kebajikan para pengamal media di negara ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ini termasuk berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya lebih banyak manfaat dapat dinikmati kumpulan media pada masa akan datang.
Katanya, perkara itu telah disampaikan kepada beberapa agensi yang berada di bawah kementeriannya untuk diteliti secara lebih mendalam
“Ia termasuklah apa cara dan mekanisme terbaik untuk kita laksanakan demi manfaat dan kebajikan pengamal media di negara ini nanti.
“Lagipun kita masih baru di peringkat permulaan walaupun kita sudah berjaya menguruskan isu Perkeso.
“Maka saya minta agensi-agensi membuat penelitian lanjut tentang aspek lain yang boleh dinikmati pengamal media.
“Tetapi berikan kami sedikit masa untuk berbincang dengan KWSP tentang apa yang boleh dimanfaatkan kerana ia membabitkan dua perkara berbeza iaitu satu perlindungan sosial dan keduanya mengenai simpanan untuk hari tua pengamal media,” katanya kepada media di sini.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi dan menghulurkan bantuan Tabung Hawana kepada Jurukamera MalaysiaGazette, Mohd. Airulrezal Amirudin yang terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa bertugas, pertengahan Jun lalu.
Menurut Fahmi, sejak 1 Julai hampir 600 orang pengamal media berkhidmat sebagai stringer (wartawan sambilan) serta Contract for Service dan Peacemeal (pekerja sambilan) untuk Stesen Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mula mendapat manfaat Perkeso.
Perkara itu diumumkan semasa sambutan Hari Wartawan Nasional di Kuching hujung Mei lalu.- MalaysiaGazette