KUALA LUMPUR- Tekanan inflasi di Malaysia dijangka meningkat pada separuh kedua 2024 didorong pelepasan kos oleh peniaga kepada pengguna disebabkan rasionalisasi subsidi.
MARC Ratings Bhd. dalam nota penyelidikannya berkata, meskipun aktiviti ekonomi domestik mula mendapat momentum namun kadar inflasi meningkat dua peratus pada Mei selepas berlegar sekitar 1.5 peratus hingga 1.9 peratus sejak lapan bulan lalu.
“Ini dipacu terutamanya oleh kos perumahan dan pengangkutan pada bulan dalam kajian yang menunjukkan kos barangan keperluan asas yang tinggi boleh dijinakkan oleh perbelanjaan bukan keperluan asas,” katanya.
Bagaimanapun, secara keseluruhan MARC Ratings mengekalkan unjuran inflasi sepanjang tahun sebanyak 2.5 hingga 3.0 peratus pada 2024.
Tambahnya, data ekonomi terkini Malaysia adalah positif dengan pengukuhan bermula pada suku kedua 2024.-MalaysiaGazette