PONTIAN – “Kebiasaannya suami (Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayob) pergi program akan pulang ke rumah tetapi kali ini dia terus tinggalkan saya.”
Itu luahan kesedihan balu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datin Seri Fatimah Taha.
Beliau bagaimanapun berada di sisi suaminya ketika Salahuddin menghembuskan nafas terakhirnya.
“Kebetulan saya ikut dia (suami) ke program. Dia tidak keseorangan ketika di saat-saat akhir dan alhamdulillah, perjalanannya berjalan lancar. Saya tidak boleh bayangkan kalau suami keseorangan ketika itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Allahyarham Salahuddin, 61, meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.
Sementara itu, adik allahyarham, Ghazaley Ayub, 56, berkata, Salahuddin seorang anak yang taat kepada orang tua terutama kepada ibu mereka, Aminah Abdullah yang kini berusia 83 tahun.
“Abang (Salahuddin) seorang yang sangat ambil berat hal keluarga dan akan pulang ke kampung walaupun sibuk, demi cium tangan emak,” katanya.
Menurut Ghazaley, Salahuddin mengalas tanggungjawab menjaga adik beradiknya selepas pemergian ayah mereka pada tahun 2009.
“Sebagai abang sulung, dia (Salahuddin) sangat bertanggungjawab dan tidak pernah melupakan ibu. Kami sekeluarga bersama abang mengharungi liku perjalanan bergelar ahli politik sehingga berjaya menjadi menteri.
“Saya dan keluarga reda dengan pemergian abang. Alhamdulilah urusan membawa jenazah dari Alor Setar ke Kampung Serkat berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Haji Dato Noh Gadut di Serkat hari ini.
Beliau berkata, sebaik mendapat berita abangnya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dia bergegas ke Kedah dari Pontian.
“Saya tiba di HSB kira-kira 11 pagi sebaik mendapat berita beliau dikejarkan ke hospital berkenaan namun apabila tiba di sana (Kedah) doktor memaklumkan keadaan abang agak kritikal dan mungkin harapan untuk pulih akan nipis,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ghazali, allahyarham abangnya pasti terus diingati jutaan rakyat negara ini sebagai ‘Menteri Rahmah’ dan dikenang sebagai individu yang memperjuangkan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: