KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah jam 9.23 malam tadi.
Khabar sedih itu dimaklumkan anak perempuan Allahyarham, Fatihah Salahuddin dalam hantaran di laman Facebook.
Sementara itu, Pejabat Menteri KPDN dalam satu kenyataan memaklumkan jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dibawa pulang ke kediaman ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai, Johor.
Artikel berkaitan:
- Salahuddin dimasukkan ke hospital, alami muntah-muntah
- Salahuddin sedang jalani pembedahan, disahkan alami pendarahan otak
- Salahuddin sudah selesai bedah, kini dirawat di ICU
- Keadaan Salahuddin agak kritikal namun stabil – Zaliha
Setiausaha Akhbar Allahyarham Syakirin Husnal berkata, keluarga Salahuddin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan terhadap Allahyarham selama ini.
“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
“Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin,” katanya.
Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Beliau yang menjalani pembedahan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan rapi HSB.
Allahyarham merupakan Ahli Parlimen Pulai, Johor. – MalaysiaGazette