Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bergambar bersama calon-calon yang bertanding selepas sidang media mengenai pengumuman calon calon Prilihan Raya Negeri ke 15 bagi Negeri Selangor di ibu pejabat DAP Pudu Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – DAP mencadangkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)  Selangor sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN)  pada 12 Ogos depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara tersebut merupakan syarat yang telah ditetapkan susulan DAP telah menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada calon UMNO.

Jelasnya, perkara tersebut juga telah dipersetujui oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“DAP cadangkan Lau Weng San sebagai Speaker DUN Selangor sekiranya PH BN menang. Kita serahkan Dusun Tua (kepada BN), dan kita cadangkan seorang bukan ADUN untuk jadi speaker. Itu syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas pengumuman senarai calon DAP bagi PRN Selangor di Ibu Pejabat DAP hari ini.

Dalam pada itu, DAP mengumumkan 15 calon termasuk sembilan penyandang sembilan calon muka lama dicalonkan semula dengan seorang daripadanya melompat kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor bulan depan.

Setiausaha Agung DAP ketika mengumumkan perkara itu berkata, sebanyak enam muka baharu diketengahkan.

“Sembilan dari lima belas penyandang, ada kombinasi lelaki wanita, berpelamanan dan baharu. Pertimbangan itu diambil kira. Kita ingin meletakkan semua calon untuk pastikan kemenangan,” katanya.

Sembilan penyandang itu adalah Ng Suee Lim (Sekinchan), Lee Kee Tiong (Kuala Kubu Bharu), Wong Siew Ki (pindah ke DUN Seri Kembangan), Ng Sze Han (Kinrara), Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya), R Rajiv (Bukit Gasing), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Leong Tuck Chee (Pandamaran).

Calon muka baru terdiri daripada Yew Jia Haur (DUN Teratai), Ong Chun Wei (DUN Balakong), Quah Perng Fei (DUN Bandar Baru Klang), S Preakas (DUN Kota Kemuning), V Papparaidu (DUN Banting) dan Lwi Kian Keong (DUN Sungai Pelek).

Dengan pengumuman itu, nama-nama seperti Datuk Teng Chang Kim (DUN Bandar Baru Klang), V Ganabatirau (Kota Kemuning), Ronnie Liu (Sungai Pelek) digugurkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast