Api marak di pergunungan Kassiopi,, Pulau Corfu. foto Twitter

KERKYRA – Corfu menjadi Pulau Greece terbaharu yang diarahkan berpindah ketika negara itu bergelut dengan kebakaran hutan.

Foto yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan kebakaran melanda Corfu.

Kebakaran berlaku di bahagian utara pulau yang popular dengan pelancong Britain.

Ia berlaku selepas kira-kira 19,000 orang dipindahkan di Pulau Rhodes, yang turut dilanda kebakaran.

Ramai yang terpaksa meninggalkan hotel mereka ketika api terus merebak dari tengah Pulau Greece.

Greece kini bergelut dengan gelombang haba yang melebihi 40 darjah Celsius di seluruh negara.

Keadaan cuaca itu menyumbang kebakaran hampir seminggu di beberapa kawasan.

Cuti kebangsaan yang telah dirancang pada hari Isnin telah dibatalkan “memandangkan keadaan luar biasa yang berlaku di negara itu akibat kebakaran”, kata Presiden Greece.

Lewat petang Ahad, Perkhidmatan Komunikasi Kecemasan Greece mengeluarkan perintah pemindahan untuk kawasan Santa, Megoula, Porta, Palia, Perithia dan Sinies.

Bot di kawasan itu telah dihantar untuk memindahkan penduduk melalui laut, kata seorang pegawai kerajaan.

Corfu – terletak di laut Ionia di barat laut Greece merupakan destinasi yang popular dengan pelancong, dengan ratusan ribu warga Britain berkunjung setiap tahun.

Rhodes pula sebuah pulau kira-kira 1,027 km sedang memerangi kebakaran hutan dan keadaan semakin mencabar dengan angin kencang sejak Selasa menyebabkan ruang udara di selubungi asap.

Kira-kira 16,000 orang telah dipindahkan melalui darat dan 3,000 melalui laut di pulau itu, menurut pegawai tempatan.

Kementerian Perubahan Iklim dan Perlindungan Awam Greece berkata ia adalah “pemindahan terbesar daripada kebakaran hutan di negara itu”.

Dalam pada itu, beribu-ribu pelancong telah berkhemah di lapangan terbang Rhodes pada hari Ahad, menunggu penerbangan untuk keluar. – Agensi