TEHRAN – Pusat politik dan ekonomi Iran perlu dipindahkan ke selatan, ke pantai di Teluk Parsi supaya lebih dekat dengan laluan perdagangan utama, kata Presiden, Masoud Pezeshkian.
“Ibu negara, Tehran menghadapi masalah yang mana kami tidak mempunyai penyelesaian selain daripada memindahkannya,” kata Pezeshkian seperti dipetik agensi berita, Fars.
Mengekalkan Tehran yang berada di utara negara itu sebagai ibu negara semakin sukar dengan beberapa aspek perlu dipertimbangkan antaranya ekonomi, katanya.
“Adalah mustahil untuk membangunkan negara dengan meneruskan trend semasa.
“Jika kita mahu terus membawa sumber ke Tehran dari selatan dan laut, menjadikan mereka produk dan menghantar balik ke selatan untuk eksport, ia akan mengurangkan daya saing kita,” tambah beliau.
Pezeshkian berkata, selepas ibu negara baharu dipilih, semua agensi kerajaan akan ditempatkan semula selepas penduduk Tehran diberi peluang untuk berpindah ke ibu negara baharu itu. – Agensi