GEORGE TOWN – Umat Islam yang telah menonton konsert kumpulan muzik British, The 1975 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor baru-baru ini dinasihatkan memohon keampunan daripada Allah SWT sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, memohon keampunan itu perlu dibuat meskipun penonton tidak menjangkakan berlaku perlakuan tidak senonoh dalam konsert tersebut.

Jelasnya, kelakuan tidak sopan yang dipamerkan vokalis kumpulan terbabit serta kritikannya terhadap undang-undang Malaysia jelas menunjukkan kumpulan The 1975 ini berniat serong terhadap negara dan rakyat yang masih mendokong serta menghormati nilai akhlak murni.

“Agama Islam sama sekali tidak menentang hiburan termasuk konsert muzik, drama, filem dan seumpamanya namun, yang ditentang dan dilarang oleh Islam adalah hiburan dan semua aktiviti seni yang boleh merosakkan fikiran serta kelakuan penonton atau peminat.

“Sejarah tamadun Islam tidak pernah menyaksikan sebarang konflik antara agama dan kemajuan termasuk dalam bidang kesenian dan hiburan malah menyarankan semua pihak supaya sama-sama berusaha ke arah pembinaan masyarakat yang baik, adil dan bersih.

“Jadi, mana-mana umat Islam yang sudah menonton konsert berkenaan dinasihati memohon keampunan daripada Allah SWT sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa kerana tidak menjangka tindakan itu akan dilakukan di hadapan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Wan Salim, tidak wajar bagi sebuah negara yang ingin membangun dengan generasi penerus dinamik dan progresif, membawa masuk budaya luar sehingga merosakkan nilai moral yang amat diperlukan bagi pembangunan dan kemajuan.

“Penganjur festival juga sudah membuat akujanji akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert berkenaan maka Kementerian Komunikasi dan Digital berhak membatalkannya dan tidak boleh dipersalahkan,” katanya.

Sabtu lalu, Kerajaan menghentikan festival muzik di Sepang dan menyekat kumpulan muzik The 1975 daripada melakukan persembahan kerana ‘tindakan tidak senonoh’ mereka.

Ia susulan insiden sehari sebelum itu yang mencetuskan kontroversi apabila vokalis The 1975, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Dia turut membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Susulan itu, KKD melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) l membuat keputusan untuk menyenaraihitamkan kumpulan muzik British, The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast