Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. Foto FAREEZ FADZIL, 19 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Selangor telah menerima sebanyak 18 kes khianat kain rentang Malaysia Madani setakat 20 Julai yang lalu menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mengikut pecahan kes yang direkodkan mendapati daerah Kuala Selangor mencatatkan sebanyak tujuh insiden khianat kain rentang Malaysia Madani disusuli tiga kes di daerah Kuala Langat.

“Manakala kes selebihnya masing-masing dua insiden khianat telah dilaporkan di daerah Kajang, Sungai Buloh, Klang Selatan dan di kawasan Shah Alam.

“Kesemua kes berkenaan sedang disiasat oleh polis di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan khianat yang boleh membawa kepada tangkapan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Hussein, siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci berdasarkan laporan yang diterima dalam kes tersebut.

“Dalam hal ini, polis tidak akan teragak-agak untuk membuat tangkapan ke atas mana- mana individu atau pihak yang didapati terlibat dalam perbuatan jenayah itu.

“Perbuatan khianat ini merujuk kepada perbuatan merosakkan kain rentang, mencabut atau menjatuhkan bendera parti.

“Polis mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat dalam PRN di negeri berkenaan agar berkempen secara sihat dengan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh polis dan Akta Pilihan Raya,” tegasnya.

Menurutnya, polis sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan berunsur khianat sebegini dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Pada 5 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 12 Ogos 2023 sebagai hari mengundi PRN di enam negeri kali ini iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Enam negeri tersebut tidak mengambil bahagian dalam PRU Ke-15 yang diadakan pada November 2022.

Manakala, penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini manakala proses undi awal adalah pada 8 Ogos depan.- MalaysiaGazette