Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini secara prinsip bersetuju supaya Akta Hasutan 1948 (Akta 15) disemak berkaitan isu melibatkan raja, agama dan kaum (3R).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semakan bagi memastikan perundangan hanya digunakan untuk melindungi Institusi Raja-Raja daripada sebarang provokasi.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948.

“Dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi Institusi Raja-Raja secara holistik,” katanya dalam kenyataan.

Aspek lain yang akan diteliti adalah berkenaan provokasi yang melibatkan agama dan bangsa serta penggubalan undang-undang baharu jika perlu berkaitan keharmonian dan perpaduan negara.

Semakan akan mengambil kira pandangan Institusi Raja-Raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.

Persetujuan itu dicapai selepas Azalina membentangkan kepada Jemaah Menteri hasil Dialog Perundangan 3R yang telah diadakan pada 21 Julai lalu.

Dialog tersebut bagi dalam menangani isu provokasi yang melibatkan agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja.

Wakil kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Perpaduan Negara, badan-badan peguam, pertubuhan masyarakat madani, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli-ahli akademi telah dijemput memberikan idea dan cadangan.

Sebelum ini Azalina dilaporkan berkata, satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu berkaitan isu bangsa, agama dan institusi diraja.

Ia bagi menangani provokasi melampau dan kebencian rakyat mengenai isu tersebut.

Media turut melaporkan kerajaan juga akan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berkaitan berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura.

Ketika ini, kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 yang lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah. – MalaysiaGazette