SPRM hakim
Logo SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan berstatus Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan dana meragukan berjumlah lebih RM500 juta.

Menurut sumber, individu berusia 42 tahun itu diberkas SPRM selepas hadir ke pejabat suruhanjaya itu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan pada hari ini.

Katanya, beliau disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Ahli perniagaan itu telah dicekup bersama dua lagi individu pada awal pagi hari ini sebaik sahaja dipanggil membantu siasatan oleh SPRM,” katanya sambil menambah ahli perniagaan itu dipercayai terlibat dalam perniagaan pengurusan acara.

Menurut sumber, suspek yang terlibat membawa masuk artis dan selebriti luar negara bagi melakukan persembahan di negara ini kini dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Shah Alam. – MalaysiaGazette