ALOR GAJAH – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia, dipercayai tersedak susu ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, Duyong, di sini pagi semalam.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali Zaidah, 35, berkata, dia mendapat berita sedih itu daripada pengasuh sekitar pukul 11 pagi.
Pengasuh berkenaan memberitahu, anak sulungnya itu tidak sedarkan diri dengan badan sudah kebiru-biruan.
Zaidah berkata, dia yang tinggal di Taman Desa Molek, Duyong menghantar anaknya itu kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum keluar bekerja seperti biasa di Sungai Udang manakala suami pula kerja di Pulau Gadong.
“Tiba-tiba pukul 11 pagi pengasuh telefon beritahu anak saya sudah kebiru-biruan dan tidak sedarkan diri mungkin kerana tersedak susu dan saya terus memintanya segera membawa anak ke klinik berhampiran sementara saya bergegas ke sana.
“Sebaik tiba di klinik, bayi saya telah dibawa ke Hospital Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Titian Bintangor, Linggi di sini malam tadi.
Tambahnya, doktor di Hospital Melaka kemudian mengesahkan bayinya yang dijaga pengasuh berkenaan sejak berusia empat bulan telah meninggal dunia.
“Namun pihak hospital masih belum dapat mengesahkan punca kematian kerana perlu menunggu laporan lengkap hasil bedah siasat,” katanya menahan sebak.
Sementara itu, bapa mangsa yang enggan dikenali tidak dapat mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan namun redha dengan ketentuan Ilahi.
“Buat masa ini biarlah polis siasat kerana saya tak mahu menyalahkan mana-mana pihak,” katanya ringkas.
Terdahulu, jenazah dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam dengan dihadiri ahli keluarga terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat. – MalaysiaGazette